Thursday, 28 June 2012

PENGASAS ILMU TAUHID

Mari kita mengenali siapakah dia pembangun akidah ilmu tauhid (Ahlussunnah Wal Jamaah)

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abu Hasan 'Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak bin Salim bin Ismail bin  Abdillah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa Al Asy'ari. Lahir di Basrah pada tahun 260H dan beliau wafat di Basrah juga pada tahun 324H, ketika berusia 64 tahun. Abi Musa ini seorang sahabat Nabi yang terkenal dalam sejarah Islam. 

Imam Abu Hasan Al Asy'ari pada mulanya adalah murid dari bapa tirinya seorang ulama besar kaum Mu'tazilah, Sheikh Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab Al Jabai (meninggal tahun 303H), tetapi kemudian beliau bertaubat dan keluar dari golongan Mu'tazilah itu. Pada masa itu (abad ke-3H) ramai sekali ulama-ulama Mu'tazilah mengajar di Basrah, Kufah, dan Baghdad. Ada 3 orang khalifah 'Abbasiyah iaitu Ma'mun bin Harun Al Rashid (198-218H), Al Mu'tashim (218-227H) dan Al Watsiq (227-232H) adalah khalifah-khalifah penganut faham Mu'tazilah atau sekurang-kurangnya penyokong utama golongan Mu'tazilah. 

Dalam sejarah dinyatakan bahawa pada zaman itu terjadilah apa yang dinamakan "Fitnah Quran Makhluk" yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Mu'tazilah. Imam Abu Hasan Al Asy'ari termasuk salah seorang pemuda yang belajar dengan seorang Sheikh dari Mu'tazilah iaitu Muhammad bin Abdul Wahab Al Jabai. 

Imam Abu Hasan Al Asy'ari mendapati faham kaum Mu'tazilah banyak terdapat kesalahan besar, banyak bertentangan dengan i'tiqad dan kepercayaan Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat Baginda SAW, 
lebih-lebih lagi bertentangan dengan Quran dan hadis. Lalu beliau bertaubat dan keluar dari ajaran itu serta tampil ke muka depan untuk melawan dan mengalahkan kaum Mu'tazilah tersebut. Pada suatu hari, beliau naik ke sebuah mimbar di Masjid Basrah yang besar itu, lalu mengucapkan syarahannya dengan suara yang lantang hingga didengari oleh seluruh kaum Muslimin yang berkumpul di situ. Lalu beliau berkata "sekarang saya ingin nyatakan terus terang bahawa saya telah bertaubat dari faham Mu'tazilah dan sekarang saya lemparkan i'tiqad Mu'tazilah itu seperti saya melemparkan baju saya ini (ketika itu dibukanya baju beliau dan dilemparkan) dan saya setiap saat bersedia untuk menolak faham yang salah dan sesat itu." Bermula dari situlah beliau mengumpulkan Nas dari Al-Quran dan hadis berkaitan pegangan (i'tiqad) Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat Baginda. lalu diperincinya dengan sebaik-baiknya. Beliau mengarang kitab-kitab Usuluddin dengan banyak sekali. Berkata Imam Zabidi, pengarang kitab Ittihaf Sadatil Muttaqin syarah kitab Ihya' Ulumuddin : "Imam Asy'ari mengarang sebanyak 200 ratus kitab.

Alhamdulillah, akhirnya Imam Abu Hasan Al Asy'ari dapat menegakkan faham dan kemudian dinamai FAHAMAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH.

Manakala dalam faham i'tiqad Ahlussunah Wal Jamaah terdapat seorang lagi imam yang masyhur iaitu Imam Mansur Al Mathuridi dianggap juga sebagai pembangun mazhab Ahlussunnah Wal Jamaah. Nama lengkap beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Mahmud. Beliau lahir di sebuah desa di Samarqand yang bernama Mathurid. Beliau meninggal pada tahun 333H.

Dunia Islam dari dahulu hingga sekarang menganggap bahawa kedua-dua imam ini adalah pembangun mazhab Ahlussunnah Wal Jamaah.

No comments:

Post a Comment