Mari kita mengenali siapakah dia pembangun akidah ilmu tauhid (Ahlussunnah Wal Jamaah)
Nama lengkap beliau ialah Syeikh
Abu Hasan 'Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak bin Salim bin Ismail
bin Abdillah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa Al
Asy'ari. Lahir di Basrah pada tahun 260H dan beliau wafat di Basrah juga
pada tahun 324H, ketika berusia 64 tahun. Abi Musa ini seorang sahabat
Nabi yang terkenal dalam sejarah Islam.
Imam Abu Hasan Al Asy'ari pada
mulanya adalah murid dari bapa tirinya seorang ulama besar kaum
Mu'tazilah, Sheikh Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab Al Jabai (meninggal
tahun 303H), tetapi kemudian beliau bertaubat dan keluar dari golongan
Mu'tazilah itu. Pada masa itu (abad ke-3H) ramai sekali ulama-ulama
Mu'tazilah mengajar di Basrah, Kufah, dan Baghdad. Ada 3 orang khalifah
'Abbasiyah iaitu Ma'mun bin Harun Al Rashid (198-218H), Al Mu'tashim
(218-227H) dan Al Watsiq (227-232H) adalah khalifah-khalifah penganut
faham Mu'tazilah atau sekurang-kurangnya penyokong utama golongan
Mu'tazilah.
Dalam sejarah dinyatakan bahawa
pada zaman itu terjadilah apa yang dinamakan "Fitnah Quran Makhluk" yang
mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum
Mu'tazilah. Imam Abu Hasan Al Asy'ari termasuk salah seorang pemuda yang
belajar dengan seorang Sheikh dari Mu'tazilah iaitu Muhammad bin Abdul
Wahab Al Jabai.
Imam Abu Hasan Al
Asy'ari mendapati faham kaum Mu'tazilah banyak terdapat kesalahan besar,
banyak bertentangan dengan i'tiqad dan kepercayaan Nabi Muhammad SAW
serta sahabat-sahabat Baginda SAW,
lebih-lebih
lagi bertentangan dengan Quran dan hadis. Lalu beliau bertaubat dan
keluar dari ajaran itu serta tampil ke muka depan untuk melawan dan
mengalahkan kaum Mu'tazilah tersebut. Pada suatu hari, beliau naik ke
sebuah mimbar di Masjid Basrah yang besar itu, lalu mengucapkan
syarahannya dengan suara yang lantang hingga didengari oleh seluruh kaum
Muslimin yang berkumpul di situ. Lalu beliau berkata "sekarang saya
ingin nyatakan terus terang bahawa saya telah bertaubat dari faham
Mu'tazilah dan sekarang saya lemparkan i'tiqad Mu'tazilah itu seperti
saya melemparkan baju saya ini (ketika itu dibukanya baju beliau dan
dilemparkan) dan saya setiap saat bersedia untuk menolak faham yang
salah dan sesat itu." Bermula dari situlah beliau mengumpulkan Nas dari
Al-Quran dan hadis berkaitan pegangan (i'tiqad) Nabi Muhammad SAW dan
sahabat-sahabat Baginda. lalu diperincinya dengan sebaik-baiknya. Beliau
mengarang kitab-kitab Usuluddin dengan banyak sekali. Berkata Imam
Zabidi, pengarang kitab Ittihaf Sadatil Muttaqin syarah kitab Ihya'
Ulumuddin : "Imam Asy'ari mengarang sebanyak 200 ratus kitab.
Alhamdulillah, akhirnya Imam Abu Hasan Al Asy'ari dapat menegakkan faham dan kemudian dinamai FAHAMAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH.
Manakala dalam faham i'tiqad
Ahlussunah Wal Jamaah terdapat seorang lagi imam yang masyhur iaitu Imam
Mansur Al Mathuridi dianggap juga sebagai pembangun mazhab Ahlussunnah
Wal Jamaah. Nama lengkap beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Mahmud.
Beliau lahir di sebuah desa di Samarqand yang bernama Mathurid. Beliau
meninggal pada tahun 333H.
Dunia Islam dari dahulu hingga sekarang menganggap bahawa kedua-dua imam ini adalah pembangun mazhab Ahlussunnah Wal Jamaah.